Tangga Batu adalah sebuah bandar kecil berhampiran dengan pantai yang terletak dalam daerah Melaka Tengah, Melaka. Ianya menjadi kawasan parlimen (P136) bagi DUN Sungai Udang, Paya Rumput, Pantai Kundur dan Kelebang. Tangga Batu terletak di tengah-tengah perjalanan antara Bandar Hilir (15.8km) dan Pekan Masjid Tanah (14.7km). Ia adalah sebuah pekan lama yang direntasi Sungai Udang. Tangga Batu mempunyai kawasan perindustriannya tersendiri dan sebahagian daripada Petronas Penapisan Melaka terletak di dalam pekan ini. Kampung Ghafar Baba, sebuah kampung yang dinamakan sempena nama salah seorang Timbalan Perdana Menteri Malaysia, terletak dalam Tangga Batu. Sungai Udang, Bukit Rambai, Paya Rumput, Pantai Kundur, Klebang dan Tanjung Kling adalah antara pekan-pekan kecil di kawasan Tangga Batu.
Peranan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Paya Luboh, Tangga Batu adalah untuk memajukan dan menjaga hal ehwal keselamatan penduduk kampung. Organisasi seperti ini juga menjadi tunggak utama penyumbang kepada pembangunan di kawasan setempat. Hal ini kerana, ianya bukan sahaja memainkan peranan penting sebagai penasihat bagi penduduk kampung yang menghadapi masalah, malah turut juga memainkan peranan untuk menyampaikan kepada kerajaan yang memerintah tentang keperluan awam serta keselesaan penduduk.